Walaupun persepsi terhadap peranan jantina dalam masyarakat telah banyak berubah saban tahun, namun kaum Adam masih lagi terbeban dengan anggapan bahawa mereka perlu maskulin pada setiap masa.
Apa yang mungkin anda tidak tahu adalah perwatakan macho yang sering dianggap ideal ini boleh mempengaruhi tahap kesihatan lelaki ke arah yang lebih negatif.
Kaum Adam mana boleh mudah sakit
Kajian yang dijalankan di Wisconsin berkaitan dengan fenomena lelaki macho adalah, mereka yang mempunyai tanggapan salah dengan konsep maskulin lebih susah untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.
Perkara ini boleh memberikan impak negatif terhadap jangka hayat lelaki serta mempengaruhi risiko kematian terhadap sesuatu penyakit.
Bagi penyakit tertentu, jika ia tidak dikesan pada peringkat awal, ia boleh mengubah kualiti hidup seseorang. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kematian.
Untuk memastikan tahap kesihatan lelaki berada pada paras optimum, apabila usia sudah mencecah 40 tahun, mereka disarankan untuk membuat:
Pemeriksaan fizikal sekali setahun.
Pemeriksaan gigi 2 kali setahun.
Pemeriksaan kulit sekali setahun.
Lelaki sebenar tidak mudah goyah dalam apa jua situasi
Lelaki tidak boleh mudah berasa sakit. Jika sakit sekalipun, haruslah digigit sendiri, tidak kiralah seteruk mana. Demikianlah konsep lelaki macho yang sering digambarkan.
Keadaan ini tidak spesifik kepada sakit fizikal semata-mata. Mereka yang bergelut dengan kesakitan emosi turut mengalami masalah yang sama.
Jika teruk, ia boleh mengundang masalah mental seperti kemurungan, keresahan dan sebagainya.
Lelaki yang tidak suka bergantung kepada orang lain lebih cenderung untuk merahsiakan masalah mereka.
Akibatnya, tiada siapa boleh membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah.
Sayur bukan makanan kami, hanya daging dan sumber protein
Bila kita berbicara mengenai salad, pasti anda terbayang akan kaum Hawa memegang semangkuk sayur.
Diet lelaki macho pula lebih kepada daging, ubi kentang dan makanan berlemak.
Kajian sains menunjukkan secara puratanya, kaum Hawa hidup 5 hingga 10 tahun lebih lama berbanding dengan lelaki.
Walaupun perkara sebegini sukar untuk dikaji, kebanyakan saintis bersetuju bahawa pemakanan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kecelaruan tersebut.
Mudah sahaja, makanan berlemak dan mengandungi kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan saluran arteri tersumbat.
Perkara ini boleh menyebabkan tercetusnya masalah kesihatan seperti serangan jantung dan strok.
Tambahan pula, kadar pengambilan sayur yang sedikit menyebabkan risiko kanser lelaki akan meningkat.
Kesimpulan
Bukan semua tingkah laku lelaki macho wajar dicontohi.
Semua yang tersenarai di atas boleh mempengaruhi kualiti hidup anda sehingga ada yang boleh meningkatkan risiko kematian pun!
Kesimpulannya, adalah lebih macho jika anda mengamalkan gaya hidup sihat dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
Jika anda berada dalam usia yang digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, laksanakannya mengikut nasihat pakar.
https://hellodoktor.com/kesihatan-lelaki/lelaki-lain/lelaki-macho/

Comments
Post a Comment