KUALA LUMPUR: Polis menahan lelaki yang sebelum ini menimbulkan kegusaran umat Islam, menerusi rakaman video di media sosial, berhubung tindakannya memurtadkan wanita Islam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 12.50 tengah hari tadi.
Huzir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas satu telefon bimbit berserta satu kad sim milik suspek.
"Kita kini dalam usaha mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kes ini," katanya.
Huzir berkata, penahanan suspek dibuat susulan siasatan yang dijalankan berhubung laporan mengenai kenyataan individu yang menghina Islam serta menghasut untuk memurtadkan wanita beragama Islam ke agama Hindu.
"Suspek memuat naik klip video berdurasi tiga minit 11 saat melalui platform YouTube atas nama akaun Happy Family Malaysia pada pertengahan Februari lalu.
"Kita minta orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan, sehingga mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara," katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam.
Sebelum ini tular satu klip video lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan wanita Islam, sebelum mengahwininya.
Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam berkahwin wanita Islam ialah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.
Susulan itu, polis pada 18 Februari melakukan pemeriksaan di rumah keluarga lelaki terbabit namun Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, memaklumkan tiada sebarang tangkapan.
Berikutan itu, seorang wanita yang mengaku warga Indonesia dipercayai isteri suspek, memuat naik video permohonan maaf.
Wanita itu mendakwa dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya, iaitu Indonesia

Comments
Post a Comment