KUALA LUMPUR - Seorang penolong penguasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau mengesyaki Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersubahat dengan dua individu berhubung kehilangan wang tunai RM250,000 dari peti besi di kediaman ahli politik itu, dua tahun lepas.
Asisten Superintendan Ahmad Marzuqi Ibrahim, 39, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut berkata, beliau mengesyaki perkara itu kerana hanya Syed Saddiq dan dua individu bernama Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean yang mengetahui kata laluan peti besi.
"Hanya cap jari Syed Saddiq yang ditemukan pada almari dan sekitar kawasan peti besi itu. Saya mengesyaki ketiga-tiga mereka terlibat atau bersubahat di dalam kes kehilangan wang tersebut.
"Saya mengesahkan pada masa itu, saya telah memberikan surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan saya, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperoleh dari pihak BNM," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali pada hari kedua perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.
Saksi pendakwaan kelima itu juga mengesahkan berdasarkan hasil siasatannya, tiada kesan umpilan dijumpai pada peti besi dan hanya terdapat kesan cap jari bekas Menteri Belia dan Sukan pada peti besi berkenaan.
"Saya tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana YB Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan saya ketika itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.
"Saya juga mengesahkan YB Syed Saddiq tidak pernah memberitahu wang yang hilang tersebut adalah wang campuran politik. Beliau hanya menyatakan bahawa itu adalah wang simpanan beliau dan juga ibu bapa beliau," katanya.
Terdahulu, Ahmad Marzuqi berkata susulan laporan polis tentang kecurian wang RM250,000 yang dibuat Syed Saddiq pada 29 Mac 2020, beliau telah membuat tangkapan terhadap pembantu rumah ahli politik itu, seorang warga Indonesia bernama Novi Dwi Anggraeni.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/208217/BERITA/Semasa/Syed-Saddiq-disyaki-bersubahat-kes-wang-hilang-1.208217

Comments
Post a Comment